New Post

Rss

Thursday, 8 January 2015
no image

Ciri-Ciri Isteri Derhaka Menurut Rasullullah

      Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallahu Anha bermaksud:


“Aku pernah bertanya kepada Baginda: “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya”.

Kemudian aku bertanya lagi : “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab:” Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.”

(Riwayat Bazar dan al-Hakim)


Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud:

“Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.”

(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya.

Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:

1. Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:

“Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.

Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:

“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.”

(Riwayat Muslim)

Ibnu Asakir pula menyebut:

“Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”

2. Menyakiti hati suami

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

” Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.”

(Riwayat Ibnu Majah)

3. Puasa sunat tanpa keizinan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Keluar rumah tanpa izin suami

“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.”

(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

5. Meminta cerai daripada suami

Sabda Rasulallah sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:
“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara haram baginya bau syurga.”

(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

6. Isteri yang tidak menunaikan hajat suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

“Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.


 
Sunday, 14 December 2014
no image

CERAI SECARA TAKLIK

                                          CERAI SECARA TAKLIK 

 

 Contoh pertanyaan :

1. seseorang lelaki bila melafazkan akad nikah dan selepas itu membaca dan mendatangani taklik maka selepas itu dia akan terikat dengan taklik tersebut.
2. Sebagai membuktikan kasih sayang pada isterinya, maka si lelaki itu melafaz taklik tambahan maksud saya dia telah menulis satu taklik diatas kertas yg lafaznya berbunyi ; sekiranya dia mempunyai kekasih lain atau melakukan zina dgn perempuan lain maka jatuhlah talak 1 ke atas isterinya" taklik tersebut dilafaz dihadapan pegawai jabatan agama dan salinan taklik itu juga ada disimpan oleh pegawai agama tersebut.
3.persoalannya apakah taklik yang telah dibuat boleh dibatalkan sewenangnya contohnya untuk taklik tambahan itu.
 
Jawaban :
Menurut pandangan jumhur (majoriti) ulama termasuk imam-imam mazhab empat; Talak secara taklik (yakni secara ikatan) adalah harus dan apabila berlaku perkara atau peristiwa yang ditaklikkan (yakni yang diikat dengan talak), maka akan tertalak lah isteri jika memenuhi syarat-syarat berikut;

1. Suami ada kelayakan untuk menjatuhkan talak
2. Wanita itu adalah miliknya (yakni berstatus isterinya)
3. Perkara atau peristiwa yang ditaklikkan kepada talak itu harus berlaku, bukan yang mustahil berlaku atau digantungkan kepada kehendak Allah.
(Mabahis Fiqhiyyah Fi Masail al-Ahwal asy-Syakhsiyyah, Dr. Nasr Farid Wasil, hlm. 264).

Namun ada juga di kalangan ulama yang berbeza pandangan dengan jumhur ulama di atas. Di antara mereka ialah Imam Ibnu Hazm dan Abi ‘Abdurrahman (salah seorang murid Imam Syafi’ie) yang berpandangan; talak atau cerai secara taklik tidak sah dan tidak jatuh talak. Menurut mereka; talak tidak menerima taklik sebagaimana juga nikah. (Ighasah al-Lahfan, Imam Ibnul-Qayyim, jil. 2. hlm. 81).

Sebahagian ulama (antaranya Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim al-Jauzi dan Syeikh Ahmad as-Syirbasi) membedakan antara dua keadaan;

1. Cerai/Talak secara taklik yang dilafazkan memang dengan niat untuk menceraikan, iaitu seorang lelaki mengikat talaknya terhadap isterinya dengan suatu peristiwa/perkara dan ia berniat dalam dirinya bahawa jika peristiwa/perkara itu terjadi, maka isterinya tertalak. Cerai taklik sebegini akan membawa kepada jatuhnya talak jika terjadi perkara/peristiwa yang ditaklikkan di dalam lafaz talak itu. Contohnya; seseorang berkata kepada isterinya; “Jika kamu menghalalkan baki maskawin yang tertanggung atas ku, maka kamu aku ceraikan” dengan ia berniat menceraikan isterinya jika isterinya menghalalkan maskawin itu. Ataupun, ia berkata kepada isterinya; “Jika kamu keluar dari rumah, kamu aku ceraikan” dan ia sememangnya berniat talak jika benar isterinya keluar rumah.
2. Cerai taklik yang dilafazkan semata-mata untuk memberi dorongan atau ancaman atau penegasan, bukan dengan niat menceraikan. Contohnya; seseorang itu berkata kepada isterinya; “Jika kamu pergi ke tempat itu, maka kamu tertalak” dan tatkala ia melafazkan ucapan ini, ia tidak bermaksud talak tetapi hanya sebagai ancaman terhadap isterinya untuk menegahnya dari pergi ke tempat yang dimaksudkan. Taklik sebegini lebih mirip kepada sumpah. Oleh itu, ia tidak menyebabkan jatuhnya talak, akan tetapi wajib membayar kaffarah sumpah jika taklik itu dilanggari iaitu dengan memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada mereka atau membebaskan seorang hamba dan jika ke semua itu tidak mampu dilakukan, hendaklah berpuasa tiga hari. Pandangan ini menjadi amalan dalam undang-undang keluarga Islam di Mesir hari ini.
no image

BOHONG SUNAT

                                                 BOHONG SUNAT 



Contoh pertanyaan

 

Apakah hukum 'berbohong sunat'? Perbuatan berbohong tersebut adalah untuk tujuan yang baik, misalnya untuk menjaga sillaturrahim. 


Jawapan;

Sabda Nabi s.a.w.; “Bukanlah dianggap pendusta/pembohong seorang yang berniat untuk memperbaiki di antara manusia dengan ia menyampaikan berita yang baik saja (di antara dua orang yang berkelahi/bersengketa) atau melaporkan yang baik-baik saja (dengan menyembunyikan yang tidak baik di antara mereka berdua)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ummu Kalsum r.a.). Dalam riwayat Imam Muslim, terdapat tambahan; Ummu Kalsum berkata; “Aku tidak mendengar Nabi s.a.w. memberi sebarang kelonggaran (untuk berbohong/berdusta) dalam percakapan manusia kecuali dalam tiga keadaan;
1) Ketika peperangan
2) Untuk mendamaikan di antara manusia
3) Percakapan seorang lelaki dengan isterinya dan percakapan seorang perempuan dengan suaminya
(HR Imam Muslim)

Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; “Hadis ini dengan jelas telah mengharuskan beberapa bentuk pendustaan jika ada maslahah/kepentingan. Para ulama telah membuat batasan bagi pendustaan/pembohongan yang diharuskan. Batasan yang terbaik ialah yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali yang menjelaskan; percakapan ialah jalan untuk mencapai maksud-maksud tertentu. Jika suatu maksud yang baik dapat dicapai dengan berkata benar, tidak harus lagi berdusta kerana pendustaan tidak diperlukan ketika itu. Namun jika maksud yang baik itu tidak ada cara untuk mencapainya melainkan dengan berbohong/berdusta, maka ketika itu berbohong/berdusta adalah harus jika maksud yang ingin dicapai itu hukumnya adalah harus. Jika maksud itu wajib, maka berdusta ketika itu juga wajib (kerana tidak ada cara lain lagi untuk mencapainya). Contohnya; ada seorang muslim bersembunyi dari seorang lelaki zalim dan kita mengetahui tempat persembunyiannya. Kemudian si zalim itu bertanya kita tempat lelaki muslim itu bersembunyi. Ketika itu wajib kita berdusta/berbohong (yakni tidak harus kita bercakap benar dengan memberitahunya). Contoh lain; kita ada menyimpan barang milik seseorang muslim, lalu ditanya tentangnya oleh seorang zalim yang ingin merampasnya, maka wajib kita berdusta untuk menyembunyikannya (bagi mengelak ia dirampas). Malah kata Imam al-Ghazali; jika kita memberitahu si zalim itu dan barang itu dirampasnya, wajib kita menggantikannya.

Namun langkah yang lebih berhati-hati ialah dengan kita melakukan at-Tauriyah iaitu berselindung, yakni tidak secara direct berdusta/berbohong. Maksud at-Tauriyah ialah kita bercakap dengan bahasa yang zahirnya nampak macam berdusta, tetapi secara terselindung (yakni biat di hati) kita tidak berdusta. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi, kitab Hifzul-Lisan. *Terjemahan dilakukan secara bebas).

Bagi masalah hubungan suami-istri, maksud keharusan berdusta/berbohong ialah dalam menzahirkan kasih-sayang, berjanji sesuatu yang tidak lazim/mesti (ditunaikan) atau sebagainya. Sebagai contohnya; apabila istri bertanya suami; sedap atau tidak masakannya? Suami pun menjawab; “sedap”, walhal sebenarnya tidak sedap. Jawapan itu bertujuan menjaga perasaan isteri walaupun  sebenarnya suami berbohong. Berbohong sebegitu tidaklah dicela kerana tujuannya untuk mengekalkan kasih-sayang. Adapun melakukan penipuan/pembohongan untuk mengelak dari tanggungjawab/kewajipan terhadap pasangan masing-masing atau untuk merampas haknya secara batil, maka ia adalah haram dengan ijmak para ulama. (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi)

Wallahu a’lam.

no image

BATASAN PERBUALAN LELAKI DAN WANITA

                       BATASAN OBROLAN LELAKI DAN WANITA



contoh pertanyaan

 saya ingin tahu apakah batas2 dalam obrolan antara seorang lelaki dan perempuan bukan mahram?yang saya tahu, lelaki dan perempuan bukan mahram boleh bercakap jika ada keperluan.


Jawapan;

Hubungan/interaksi antara lelaki dan wanita dalam banyak keadaan tidak dapat dielakkan. Dalam dunia hari ini, kaum lelaki dan kaum wanita sama-sama bersaing dalam hampir semua sector. Selagi hubungan tersebut berjalan secara normal, dengan tujuan yang baik (untuk memenuhi urusan dan keperluan), di tempat terbuka dan tidak menimbulkan sebarang syak wasangka orang lain dan tidak ada niat yang terselindung di sebaliknya, maka Islam tidak menghalang lelaki dan wanita untuk berinteraksi antara satu sama lain. Islam hanya menyekat hubungan yang berlebihan yang jika tidak dikawal akan membawa kepada berlakunya zina. Contoh hubungan yang berlebihan ini ialah;
1. Berdua-duaan tanpa mahram
2. Saling sentuh-menyentuh
3. Bercakap dengan suara manja dan memikat (khusus bagi perempuan)
4. Mendedahkan aurat atau bertabarruj
5. Kerap bertemu tanpa ada keperluan
6. Terlalu mesra atau bergurau yang keterlaluan
7. Meluahkan perasaan cinta dan kasih.

Bentuk hubungan yang berlebihan di atas hanya diizinkan apabila ada akad perkahwinan. Tanpa akad perkahwinan, tidak diizinkan Syarak sekalipun telah ada ikatan pertunangan.
Kesimpulannya, hubungan antara lelaki dan wanita adalah harus dengan syarat tidak berlebihan sebagaimana disebutkan di atas. Adapun bentuk keperluan yang ditanya oleh saudara/saudari, ia tidak dapat kita skopkan secara khusus. Secara amnya, kita sendiri perlu bertanya diri kita; kenapa kita memilih si fulan (lelaki/wanita) untuk berurusan dengannnya. Adakah kerana keperluan atau kebetulan atau ada niat lain di sebaliknya. Namun begitu, apa pun niat kita, selagi tidak berlebihan seperti di atas, tidaklah kita memasuki daerah haram. Cuma kita perlu menjaga hati kita agar sentiasa bersih dan tidak terjebak ke dalam yang haram di masa depan.

no image

DADAH DAN BAHAN YANG MENGKHAYALKAN

                                DADAH DAN BAHAN YANG MENGKHAYALKAN


Contoh pertanyaan
 Apakah pandangan Islam berkaitan NARKOBA dan bahan-bahan yang memabukkan?
Jawapan ;

Diantara benda yang dilarang keras oleh Islam memakan atau mengambilnya ialah al-mukhaddirat iaitu bahan-bahan yang boleh menyebabkan khayal/mabuk atau tidak sedarkan diri seperti narkoba, candu (opium), ganja, pil-pil  dan sebagainya. Larangan ini adalah kerana ia mendatangkan mudarat kepada aqal dan badan serta boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit dan kesan-kesan negatif yang lain.
Semua jenis bahan yang memabukkan di atas diharamkan oleh Syara’ dalam apa saja bentuk atau cara pengambilannya (sama ada melalui suntikan, menghisap, meminum dan sebagainya). Pengharamannya termasuk dalam hukum benda-benda yang memabukkan (المسكرات) yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya tadi iaitu;
كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ ، وَ كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَاْمٌ
“Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibn Umar r.a.)
Saidina Umar r.a. tatkala menjelas tentang hakikat khamar (arak) yang diharamkan Syara’, beliau menyatakan;
اَلْخَمْرُ مَاْ خَاْمَرَ الْعَقْلَ
“Khamar itu ialah semua bahan yang dapat menutupi aqal”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam kitab Subulussalam, pengarangnya iaitu Imam As-Son’ani menjelaskan; “Dan diharamkan apa yang boleh memabukkan dari apa jenis sekalipun, walaupun ia bukan dari minuman, contohnya ialah al-hasyisyah (ganja)”.
Terdapat riwayat dari isteri Nabi s.a.w. iaitu Ummu Salamah r.a. yang menyatakan;
نَهَى رَسُوْلُ اللهِ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ مُفْتِرٍ
“Rasulullah s.a.w. menegah daripada semua yang memabukkan lagi melemahkan”. (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
Menurut Imam al-Khathabi; maksud al-Mufthir dalam hadis ini ialah segala jenis minuman yang boleh melesukan dan melemahkan anggota badan. Imam al-‘Iraqi dan Ibnu Taimiah telah menyatakan bahawa para ulama’ telah ijma’ (sepakat) atas haramnya al-hasyisyah (sejenis tumbuhan yang memabukkan) dan sesiapa yang menganggapnya halal adalah kafir.
Berkata Imam Ibnul-Qayyim dalam kitabnya “زاد المعاد”; “Sesungguhnya pengharaman khamar tergolong di dalam pengertiannya setiap yang boleh memabukkan (menghilangkan aqal) sama ada ianya cair atau padat, perahan atau dimasak….”.
Wallahualam
Copyright © 2014 Celoteh Jiwa All Right Reserved
Designed by Pa2Dheya