Sunday, 14 December 2014

DADAH DAN BAHAN YANG MENGKHAYALKAN

                                DADAH DAN BAHAN YANG MENGKHAYALKAN


Contoh pertanyaan
 Apakah pandangan Islam berkaitan NARKOBA dan bahan-bahan yang memabukkan?
Jawapan ;

Diantara benda yang dilarang keras oleh Islam memakan atau mengambilnya ialah al-mukhaddirat iaitu bahan-bahan yang boleh menyebabkan khayal/mabuk atau tidak sedarkan diri seperti narkoba, candu (opium), ganja, pil-pil  dan sebagainya. Larangan ini adalah kerana ia mendatangkan mudarat kepada aqal dan badan serta boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit dan kesan-kesan negatif yang lain.
Semua jenis bahan yang memabukkan di atas diharamkan oleh Syara’ dalam apa saja bentuk atau cara pengambilannya (sama ada melalui suntikan, menghisap, meminum dan sebagainya). Pengharamannya termasuk dalam hukum benda-benda yang memabukkan (المسكرات) yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya tadi iaitu;
كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ ، وَ كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَاْمٌ
“Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibn Umar r.a.)
Saidina Umar r.a. tatkala menjelas tentang hakikat khamar (arak) yang diharamkan Syara’, beliau menyatakan;
اَلْخَمْرُ مَاْ خَاْمَرَ الْعَقْلَ
“Khamar itu ialah semua bahan yang dapat menutupi aqal”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Dalam kitab Subulussalam, pengarangnya iaitu Imam As-Son’ani menjelaskan; “Dan diharamkan apa yang boleh memabukkan dari apa jenis sekalipun, walaupun ia bukan dari minuman, contohnya ialah al-hasyisyah (ganja)”.
Terdapat riwayat dari isteri Nabi s.a.w. iaitu Ummu Salamah r.a. yang menyatakan;
نَهَى رَسُوْلُ اللهِ عَنْ كُلِّ مُسْكِرٍ مُفْتِرٍ
“Rasulullah s.a.w. menegah daripada semua yang memabukkan lagi melemahkan”. (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)
Menurut Imam al-Khathabi; maksud al-Mufthir dalam hadis ini ialah segala jenis minuman yang boleh melesukan dan melemahkan anggota badan. Imam al-‘Iraqi dan Ibnu Taimiah telah menyatakan bahawa para ulama’ telah ijma’ (sepakat) atas haramnya al-hasyisyah (sejenis tumbuhan yang memabukkan) dan sesiapa yang menganggapnya halal adalah kafir.
Berkata Imam Ibnul-Qayyim dalam kitabnya “زاد المعاد”; “Sesungguhnya pengharaman khamar tergolong di dalam pengertiannya setiap yang boleh memabukkan (menghilangkan aqal) sama ada ianya cair atau padat, perahan atau dimasak….”.
Wallahualam

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2014 Celoteh Jiwa All Right Reserved
Designed by Pa2Dheya