Apakah hukum 'berbohong sunat'? Perbuatan
berbohong tersebut adalah untuk tujuan yang baik, misalnya untuk menjaga
sillaturrahim.
Jawapan;
Sabda
Nabi s.a.w.; “Bukanlah dianggap pendusta/pembohong seorang yang berniat
untuk memperbaiki di antara manusia dengan ia menyampaikan berita yang
baik saja (di antara dua orang yang berkelahi/bersengketa) atau
melaporkan yang baik-baik saja (dengan menyembunyikan yang tidak baik
di antara mereka berdua)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ummu
Kalsum r.a.). Dalam riwayat Imam Muslim, terdapat tambahan; Ummu Kalsum
berkata; “Aku tidak mendengar Nabi s.a.w. memberi sebarang kelonggaran
(untuk berbohong/berdusta) dalam percakapan manusia kecuali dalam tiga
keadaan; 1) Ketika peperangan 2) Untuk mendamaikan di antara manusia 3) Percakapan seorang lelaki dengan isterinya dan percakapan seorang perempuan dengan suaminya (HR Imam Muslim)
Berkata
Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; “Hadis ini dengan jelas telah
mengharuskan beberapa bentuk pendustaan jika ada maslahah/kepentingan.
Para ulama telah membuat batasan bagi pendustaan/pembohongan yang
diharuskan. Batasan yang terbaik ialah yang dikemukakan oleh Imam
al-Ghazali yang menjelaskan; percakapan ialah jalan untuk mencapai
maksud-maksud tertentu. Jika suatu maksud yang baik dapat dicapai dengan
berkata benar, tidak harus lagi berdusta kerana pendustaan tidak
diperlukan ketika itu. Namun jika maksud yang baik itu tidak ada cara
untuk mencapainya melainkan dengan berbohong/berdusta, maka ketika itu
berbohong/berdusta adalah harus jika maksud yang ingin dicapai itu
hukumnya adalah harus. Jika maksud itu wajib, maka berdusta ketika itu
juga wajib (kerana tidak ada cara lain lagi untuk mencapainya).
Contohnya; ada seorang muslim bersembunyi dari seorang lelaki zalim dan
kita mengetahui tempat persembunyiannya. Kemudian si zalim itu bertanya
kita tempat lelaki muslim itu bersembunyi. Ketika itu wajib kita
berdusta/berbohong (yakni tidak harus kita bercakap benar dengan
memberitahunya). Contoh lain; kita ada menyimpan barang milik seseorang
muslim, lalu ditanya tentangnya oleh seorang zalim yang ingin
merampasnya, maka wajib kita berdusta untuk menyembunyikannya (bagi
mengelak ia dirampas). Malah kata Imam al-Ghazali; jika kita memberitahu
si zalim itu dan barang itu dirampasnya, wajib kita menggantikannya.
Namun
langkah yang lebih berhati-hati ialah dengan kita melakukan at-Tauriyah
iaitu berselindung, yakni tidak secara direct berdusta/berbohong.
Maksud at-Tauriyah ialah kita bercakap dengan bahasa yang zahirnya
nampak macam berdusta, tetapi secara terselindung (yakni biat di hati)
kita tidak berdusta. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi, kitab
Hifzul-Lisan. *Terjemahan dilakukan secara bebas).
Bagi masalah
hubungan suami-istri, maksud keharusan berdusta/berbohong ialah dalam
menzahirkan kasih-sayang, berjanji sesuatu yang tidak lazim/mesti
(ditunaikan) atau sebagainya. Sebagai contohnya; apabila istri bertanya
suami; sedap atau tidak masakannya? Suami pun menjawab; “sedap”, walhal
sebenarnya tidak sedap. Jawapan itu bertujuan menjaga perasaan isteri
walaupun sebenarnya suami berbohong. Berbohong sebegitu tidaklah dicela
kerana tujuannya untuk mengekalkan kasih-sayang. Adapun melakukan
penipuan/pembohongan untuk mengelak dari tanggungjawab/kewajipan
terhadap pasangan masing-masing atau untuk merampas haknya secara batil,
maka ia adalah haram dengan ijmak para ulama. (Lihat; Syarah Soheh
Muslim, Imam an-Nawawi)
0 comments:
Post a Comment